Saturday, 21 December 2013

Usah disangka,
Disebalik senyuman ikhlas yang diukir tiada tangis,
Disebalik riangnya hati tiada hiba terselit,
Disebalik tenangnya wajah tiada sepi.

Kita mampu melihat,
Tapi tidak bermakna kita bijak dalam menilai semua perkara.



Monday, 2 December 2013

Maafkan aku sahabat....

Maafkan aku sahabat,
Andai bicaraku pernah mengguris perasaanmu.
Maafkan aku,
Andai aku pernah meninggalkamu sendiri.
Sungguh diri ini lemah,
Diri ini tidak kuat,
Sempit benar akalku dalam menilai erti persahabatan.

Sungguh aku rindu akan kita yang dulu,
Saat mula berkenalan,
Tika pertama kali aku mengenal kamu,
Tika pertama kali kamu mengenal aku,
Mengembara bersama,
Mengenal dunia bersama.

Makin jauh kita mengembara,
Makin jauh terasa jarak antara kita.
Kini semua bertegur sapa di alam maya,
Kekangan masa tak mengizinkan untuk bersua.

Memori tetap dalam kenangan,
Doa sentiasa dalam iringan.

Maafkan aku..

#khas buat semua sahabat saya.. :)


Friday, 22 November 2013

Mungkin aku tidak setuju. 
Tapi tak bermakna aku menghalang. 
Mungkin pandangan ku berbeza. 
Tapi tidak bermakna aku membangkang.

Menegur, ditegur, memberi pandangan dan bertukar-tukar pandangan itu adalah lumrah dalam kehidupan. Jadi usahlah mudah melatah tatkala orang lain tidak berfikiran sama seperti kita. 

Andai ada yang salah nasihatlah,
Bukan dicemuh.

Jangan kau junjung egomu tinggi melangit,
Kerna perlu di ingat,
Kita semua manusia,
Kelak jasad ditanam di perut bumi.



Thursday, 17 October 2013

Sejauh mana ikhlasnya hati,
Di saat bibir mengulas senyum,
Di kala lidah berkata janji,
Tika mulut mengata benar.

Sejauh mana ikhlasnya hati,
Tatkala mata menyaksikan kebenaran,
Pabila telinga mendengar pengakuan,
Apabila bukti erat dalam genggaman.

Sejauh mana ikhlasnya hati,
Tika kau memilih kepalsuan,
Kala kau padam segala janji,
Saat kau berpaling dari kebenaran.

Kini duniamu tenggelam,
Dibanjiri kepalsuan,
Lantas kau hanyut dalam kealpaan,
Sebuah dunia yang dicipta dengan pilihan.

Ku terdiam,
Berfikir akan sebuah kesudahan,
Namun akal manusiaku tak berdaya memikirkan,
Andai tangan dihulur kau tak pedulikan,
Yang tinggal untukku hanya mendoakan.


Friday, 20 September 2013


Dunia baru????......

Sesekali terdetik juga di hati tentang bagaimana inginku teruskan hidup di tempat baru, bersama rakan-rakan baru dan suasana yang berbeza setelah setahun aku dan rakan-rakan ppks bersama di Kolej Mara Kulim. Tapi apabila terkenang kembali akan kisah ku ketika pertama kali menjejakkan kaki di negeri orang, kali pertama aku berpisah dengan keluarga kira-kira setahun yang lalu, membuatkan aku kembali menanam azam untuk tidak mengundur diri dari medan ilmu ini.

Kini aku dan rakan-rakan ppks kembali membanting tulang dalam medan ilmu di tempat baru iaitu Universiti Malaysia Kelantan dengan gelaran pelajar tahun 1 (junior) .. :D
MINGGU 3M..Memang agak meletihkan.Tapi apabila difikirkan secara logik akal, pastinya para fasilitator merangkap para senior kami yang sepatutnya merasa lebih penat berbanding kami. Tapi sudah adat remaja, apabila berdepan dengan dunia baru, pastinya akan merasakan semua perkara sebagai sesuatu yang susah dan meletihkan. Banyak perkara yang menarik dan memberi pengajaran kepada diriku sepanjang menjalani minggu 3M. Aku lebih mengenal erti hidup sebagai seorang pelajar dan adat dalam bermasyarakat.


Semakin jauh aku berjalan, semakin banyak ragam dan perangai manusia yang aku temui. Semakin ramai rakan yang ku kenal. Dapat ku hidu cabaran yang bakal mendatang pastinya lebih payah dan meletihkan. 

Thursday, 15 August 2013

Qanaah- maksudnya merasa cukup

Tidak salah untuk mengejar kesempurnaan, kemewahan, kesenangan dan kejayaan.Namun, dalam kita mengejar impian atau berusaha untuk menjadi yang lebih baik atau mendapatkan sesuatu yang lebih menguntungkan. Ingatlah, jangan pernah kita lupakan apa yang sedang kita genggam, apa yang kita ada. Jangan pernah lupa mengucapkan rasa syukur kepada Allah SWT untuk apa yang telah kita capai , terima dan punya.

Kerana kita tidak pernah tahu apa yang kita akan hadapi di masa hadapan, apa yang kita akan kecapi nanti. Apa mungkin kita mendapat kejayaan atau kegagalan. Jika kita semaikan rasa sentiasa mencukupi dan syukur di atas kurniaan-Nya, rasa kecewa jika gagal mendapatkan apa yang dihajatkan pasti tidak terlalu pedih dan tidak terlalu terganggu dek tekanan emosi.

Kita mungkin ingin mengubah nasib diri dengan mengejar kemewahan, dan kita mungkin gagal dalam usaha itu. Memang jelas terbit rasa hampa di hati. Tapi jangan biar emosi mengawal diri.. Perhatikan orang yang lebih kurang bernasib baik berbanding kita.  Fikirkan apa yang kita sedia ada, lihat di sekeliling, ucapkan Alhamdulillah...

Tapi jangan pula sentiasa merasa mencukupi tanpa berusaha dan malas tapi merasa cukup dengan apa yang didapatkan atau dimiliki setelah berusaha. Ingatlah bahawa setiap apa yang kita dapat adalah setimpal dengan apa yang kita usahakan. Jadi usahlah di asuh sifat hasad kepada orang lain yang mendapat sesuatu yang lebih baik berbanding kita kerana usaha yang berbeza menerbitkan ganjaran yang berbeza... :)

Dari Abu Hurairah r.a dari Nabi SAW sabdanya. "Bukanlah yang dinamakan kaya itu kerana banyaknya harta tetapi yang dinamakan kaya yang sebenarnya ialah kayanya jiwa"

#maaf jika ada maklumat yang salah dalam penulisan ini. Teguran dan nasihat anda amat dialu-alukan...



Monday, 5 August 2013

Tok Ayah



Haji Shafian bin Awang,berusia 84 tahun.Seorang imam di Kampung Tok Kah, Dungun, Terengganu. Seorang yang tidak banyak bicara. Suami kepada Hajjah Saudah binti Abdul Rahman dan ayah kepada 6 orang anak yang terdiri daripada 3 lelaki dan 3 perempuan.Mempunyai 21 orang cucu dan 7 cicit. Berpewatakan tenang, dan tidak pernah marah kepada sesiapa tidak kiralah anak-anak,isteri mahupun orang luar. Itulah yang membuatkan dia disenangi oleh masyarakat sekeliling.Tapi alhamdulillah, walaupun tidak pernah marah, namun anak-anaknya tetap membesar menjadi individu yang berguna kepada masyarakat.

Tok ayah merupakan seorang peneroka yang berasal dari Kelantan. Dia berhijrah ke Terengganu pada tahun 60-an untuk membuka tanah. Hasil penat lelahnya terbayar apabila kawasan yang asalnya hutan bertukar kepada tanah kebun kelapa pandan dan getah. Selain itu tok ayah dan nenek juga suka berkebun, banyak sayur yang ditanam, seperti sawi, bayam, dan lain-lain. Apabila ssudah dituai, mereka akan membawa hasil tuaian ke pasar untuk di jual. Di sepanjang laluan rumah datuk ada banyak pokok kedondong, buahnya nenek buat jeruk dan dijual. Tidak ketinggalan juga hasil tanaman lain seperti durian, nenas, salak dan lain-lain yang memberikan pendapatan kepada datuk dan nenek.

Setiap kali cucu-cucunya datang melawat, pasti tok ayah yang menjadi tempat tumpuan. Memang begitulah keletah kami semua.Seplastik gula-gula selalu saja berada dalam simpanannya, untuk diagihkan kepada cucu-cucunya. Walaupun datuk bukanlah seorang yang banyak bercakap, tapi berada di sisi datuk membuat hati kami gembira.

Pada sebelah tengahari datuk dan nenek akan ke surau untuk mengajar anak-anak kampung mengaji. Dan setiap kali masuk waktu solat datuk pasti akan melangkah ke surau.Pada sebelah malamnya pula dia akan mengajar di surau dan masjid.

Tapi kini aku tidak pasti samaada aku masih berpeluang untuk mendengar alunan merdu suara tok ayah ketika mengaji dan azan. Dapatkah kami semua melihat senyum di wajahnya.

Tanggal 5/7/2013, ibu mendapat panggilan telefon dari bapa saudaraku (pok muda). Dia memberitahu yang tok ayah tidak sihat, maka malam itu ayah telah menghantar aku, ibu dan adik perempuan ku ke rumah tok ayah.Sesampainya aku di sana, aku melihat tok ayah menyandar di sofa, sayu hatiku melihat raut wajahnya. Aku pergi kepada datuk dan bersalam dengannya, nyata dia masih ingat akan diriku tapi pertuturannya tidak jelas.Datuk pernah diserang sakit jantung 6 tahun lalu dan diserang angin ahmar 2 tahun lalu.

Pada sebelah pagi sebelumnya, selera makan tok ayah bertambah dan dia masih sempat menjadi imam untuk solat asar di surau berhadapan dengan rumahnya pada petangnya. Nenek memberitahu bahawa tok ayah mengadu tidak sihat selepas solat maghrib tadi.

Pada malam itu, aku dan bapa saudaraku (pak cik mad) bergilir-gilir menjaga tok ayah. Dia kerap mengadu mahu ke tandas, tapi dia perlu di papah, dan jika tidak di bantu dia akan bangun sendiri dan jatuh.Pada pukul 2.00 a.m. aku sempat tidur sebentar dan terjaga pada pukul 2.30 a.m.Aku dan bapa saudaraku bertukar tugas. Pertuturan dan pandangan mata tok ayah menjadi semakin tidak jelas. Itu membuatkan kami buntu kerana tidak tahu apa yang dikehendaki olehnya.Kami cuba memberikan sedikit roti kerana sejak petang tadi dia tidak makan, tapi dia tidak mahu. Kali terakhir tok ayah minum pada pukul 12.00 a.m. tadi.Kudratku sebagai seorang perempuan tidak begitu kuat untuk memapah tok ayah ,namun ku gagahkan jua, beberapa kali aku hampir hilanng imbangan memandangkan tok ayah agak berat. Akhirnya pada pukul 4 a.m. datuk semakin tenang, dan aku mengambil keputusan untuk tidur.

6/7/2013.Pagi itu aku terjaga agak lewat, sekitar pukul 6.30 a.m.Ketika itu aku melihat bapa saudaraku (pok muda) da isterinya sudah tiba. Dan aku dimaklumkan bahawa tok ayah diserang angin ahmar pada bahagian sebelah kanan badannya. Lantas aku pergi kepada tok ayah dan memangkunya. Tiba-tiba tok ayah diserang sawan, mujur pak cik mad sempat menarik keluar gigi palsu datuk, walaupun terdapat sedikit luka pada lidah datuk.

Sekitar jam 7.15 pagi , tok ayah dikejarkan ke hospital. Aku kurang pasti akan kesan daripada angin ahmar yang menyerang tok ayah. Tapi aku melihat percakapannya tidak jelas, dia tidak boleh berjalan sendiri, dan memorinya sudah tidak seperti dulu. Tok ayah tidak mahu makan, dan hanya mahu minum air, itu pun setakat 2 3 sudu sahaja. Pada petangnya datuk terpaksa diikat kerana dia terlampau banyak bergerak dan mahu turun dari katil sejak dari dia dimasukkan ke wad pagi tadi. Dia tidak dapat memahami arahan dari orang sekeliling. Sekitar jam 4 p.m. jururawat meminta kebenaran untuk mengikat tok ayah agar dapat memasang jarum untuk memasukkan air ke tubuh tok ayah. Sayu hatiku melihat keadaannya,kedua-dua belah tangan dan kakinya terpaksa diikat pada katil.Dia bagaikan meronta-ronta mahu dilepaskan sehingga tangannya lebam. Kami bukan mahu bertindak kejam, tapi ini adalah untuk kebaikannya kerana sejak dimasukkan ke wad pagi tadi tok ayah tidak mahu berehat dan ingin bangun dari katil.

Pada 9/7/2013 tok ayah dibenarkan keluar dari wad. Dan kami membawa tok ayah ke rumah ibu saudaraku di Kelantan untuk dijaga, dan aku juga turut serta memandangkan aku masih bercuti panjang dan akan mendaftar pada 1/9 nanti di UMK Jeli.

Pada seminggu pertama,jelas kelihatan yang badan tok ayah semakin susut dan dia hanya mampu mengesot, tapi masih belum mampu bertutur dan memorinya masih belum pulih. Alhamdulillah , walaupun tok ayah hanya mampu makan bubur nasi yang dikisar yang dikisar dan nestum, dan minum susu serta air putih, namun kami sangat bersyukur kerana dia masih ada bersama kami sehingga hari ini.

Tapi aku kagum dengan tok ayah. Walaupun sakit dan tidak berupaya untuk ingat pada perkara-perkara lain, walaupun tidak berupaya untuk berdiri dan mengucap perkataan lain, namun kalimah Allah dan bacaan hampir kesemua bacaan dalam solat serta selawat tetap utuh di fikirannya. Setiap kali terdengar laungan azan, dia akan berusaha untuk bangun bagi menunaikan solat fardhu.

Aku tetap berharap tok ayah akan pulih dan tersenyum sekali lagi satu hari nanti.

Setianya seorang isteri, tak pernah meninggalkan suaminya walaupun si isteri sendiri sakit.Sepanjang tok ayah sakit, nenek sentiasa menemani tok ayah.

Tapi takdir dan perancangan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT adalah yang terbaik.Tanggal 23 Julai 2013, Selasa, malam 15 Ramadhan, jam 10.10 p.m. , ketika itu tok ayah telah menghembuskan nafasnya yang terakhir disisi isteri dan semua anak-anaknya. Nenek yang baru selesai solat di sisi tok ayah terus mengangkat doa kepada Allah SWT agar roh suaminya dicucuri rahmat oleh Allah SWT, dan selepas itu dengan deraian air mata sambil menahan sebak, dia mengucup tangan kaku tok ayah.Kami semua redha dengan pemergian tok ayah.Andai itu yang terbaik untuk dia, kami redha.Kerana Qada' dan Qadar Allah itu adalah yang terbaik untuk kita.Semoga roh tok ayah sentiasa tenang di sana.Amin. Al-Fatihah...............

Wednesday, 3 July 2013

Kisah kami


Pejam celik pejam celik, dah masuk 2 bulan Jentayu bercuti.Cuti masih bersisa sebanyak 2 bulan sebelum Jentayu dan teman-teman melanjutkan pelajaran, Insya-Allah.

Rasa rindu mula bertandang di hati untuk bertemu kembali dengan sahabat-sahabat yang sudah lama terpisah. Manakan tidak, dulu makan 1 kafe, tidur 1 dorm,belajar 1 dewan ..hehehe

Bila terkenang kembali gelagat-gelagat kami ketika kami masih menuntut dahulu,rasa macam agak keanak-anakan, dan jelas terpancar kenakalan masing-masing. Tapi dalam nakal dan keanak-anakkan, kami masih tetap bersama dan berjaya melakar kejayaan hasil usaha bersama yang membuktikan bahawa persahabatan kami bukan sekadar terletak pada nama.

Benarlah kata orang, kadang-kadang, kenangan yang dapat membuat kita tersenyum sendiri adalah kenangan perihal kenakalan kita dahulu bersama teman-teman.Masih segar di ingatan Jentayu ketika kami 1 dorm ditahan oleh felo ketika tidak turun ke surau ketika kuliah fardhu ain,dan sebagai upahnya kad keluar outing kami ditahan selama 2 minggu,maka berkelanalah kami di asrama selama 2 minggu sambil melihat teman-teman lain bergembira di hari minggu sambil menonton wayang dan berbelanja, dan itulah kali pertama dan terakhir Jentayu tidak hadir ke kuliah fardhu ain. (serikkkk)

Jentayu juga masih ingat saat didenda oleh ustaz bersama beberapa teman sekuliah yang lain kerana tidak hadir kelas arab pada jam 7.30 pagi-8.00 pagi.Jentayu ingatkan hukuman hanya sesi kuiz bahasa arab spontan di dalam kelas oleh ustaz, tetapi pada hari itu ustaz telah mengubah denda.Kami diarahkan untuk berbaris di luar bilik kuliah sambil melafazkan ikrar dalam bahasa arab, kebetulan ada pelajar-pelajar dari kelas lain dan pensyarah yang melihat sesi hukuman kami.Mujurlah Jentayu mempunyai ketinggian yang agak rendah dan berada di tengah-tengah barisan,jadi keberadaan Jentayu di situ tidak disedari.hehehe

Ada pensyarah yang mengatakan kami nakal, ya memang tidak dapat dinafikan lagi.Agak banyak juga kerenah kami yang membuatkan para pensyarah pening kepala.Tapi apa yang Jentayu kagum adalah , tidak pernah sekalipun mereka melatah dan melenting dengan kami. (denda dengan muka yang senyum). Pernah juga dimarahi, tapi marah seorang guru itu tidak kekal lama, keesokkannya pensyarah pasti akan tersenyum semula. Tapi dengan senyuman itu sudah cukup untuk membuat kami sedar akan kesilapan kami. (janji tak buat lagi).  hehehe

Ramai juga yang meratib di dalam kelas,sampai tersengguk-sengguk.Mencari ilham agaknya atau sedang mendalami maksud apa yang sedang diajar oleh guru..hehe..Mungkin juga kerana berjaga untuk mengulangkaji  pada malam sebelumnya.Tapi pensyarah tidak tinggal diam, pasti ada senaman mata untuk kami agar tidak lagi mengantuk,terutama Sir Syazmi dan Ustaz Zural..hehe

Siapa kata kami cuma tahu membuat kenakalan?..Alhamdulillah,kami juga mampu melakar kajayaan kami sendiri, seperti kejayaan kami mencipta nama sebagai johan pertandingan Malaysian Broadway di kolej.Selain johan, kami juga telah merangkul anugerah prop terbaik,dan 1 lagi anugerah (tak ingat lar pulakk). Anugerah yang mampu membayar usaha dan keringat kami semua dan para pensyarah yang terlibat. Masa yang kami ada kurang dari seminggu,dan kami seramai 53 orang membanting tulang dan meluangkan masa untuk menyiapkan skrip, menghafal dialog masing-masing,latihan, serta penyediaan prop yang memang memenatkan. Kesian bahagian prop, kena alter kostum Jentayu beberapa kali kerana salah ukuran ( ketinggian kostum perlu dilaraskan kembali,sebab Jentayu memang kurang tinggi) dan tidak lupa juga juru solek yang berusaha bersungguh-sungguh untuk menghijaukan muka Jentayu dan teman-teman lain yang memegang watak pokok menggunakan glitter.Memang lain dari yang lain.hehehe

Banyak lagi sebenarnya kisah kami yang ingin Jentayu coretkan di sini,tapi tidak mengapalah,mungkin di lain masa Jentayu akan bercerita lagi mengenai kisah kami.Harap sahabat-sahabat Jentayu semua berada dalam keadaan yang gembira dan sihat-sihat belaka sekarang.Jentayu doakan kita semua dapat berjumpa di UMK nanti, Insya-Allah.. :)
Tidak lupa juga buat para pensyarah yang telah banyak menabur bakti untuk kami,terima kasih tak terhingga Jentayu ucapkan.. ;)

Madam Azian,Madam Safura,Madam Yati, Madan Zetty,Miss Hajar,Ustaz Zural, Sir Syazmi, Sir Hayazi dan tak lupa buat Sir Firdaus.....

PPKS UMK 12/13......
























Monday, 1 July 2013

Selamat datang wahai Ramadhan.... ;)

       

Assalamualaikum w.b.t buat para sahabat... :)
     
        Bulan Ramadhan bakal tiba tidak lama lagi. Harap kita semua dapat membuat persediaan yang mencukupi untuk menyambut kedatangannya nanti. Tapi Jentayu terfikir,bagaimanakah Ramadhan saudara-saudara seagama kita di negara lain yang sedang bergolak sekarang. Bagaimana keadaannya dengan saudara kita di Syria, Afghanistan, Palestin, Rohingya dan lain-lain lagi?. Walaupun tidak dapat menjalani bulan puasa sepertimana kita di sini, diharap mereka dapat menjalankan ibadah puasa mereka dengan penuh kesabaran.

        Puasa sepatutnya mengajar kita tentang erti kesusahan yang dihadapi oleh fakir miskin, dan agar kita menghargai setiap apa yang sedang kita miliki, dan sentiasa bersyukur dengan nikmat yang telah dikurniakan untuk kita berbanding dengan insan-insan lain yang mungkin kurang bernasib baik berbanding kita.

        Terkadang Jentayu agak terkilan dengan cara kita menyambut bulan Ramadhan di sini.Memang menjadi rutin untuk kita semua pergi ke bazar-bazar Ramadhan di sekitar kawasan kejiranan kita untuk membeli lauk untuk berbuka. Tapi melihatkan dari jumlah lauk-pauk yang dibeli,nampak macam nak buat kenduri. Contohnya, air 3 jenis, lauk 5 jenis, kuih 5 jenis, dan itu tidak lagi termasuk dengan hidangan-hidangan sampingan yang lain.Sedangkan jumlah ahli keluarga cuma 4 atau 5 orang.

Daripada Anas RA berkata, "Rasulullah SAW berbuka puasa dengan beberapa biji rutab (tamar basah) sebelum solat, jika tiada rutab Baginda berbuka dengan tamar, dan sekiranya tamar tiada baginda akan berbuka dengan air." (Riwayat Abu Dawud dan Tirmidzi. Kata Tirmidzi ia hadis hasan]

Sudah cukuplah bagi anak Adam itu dengan beberapa suap (makanan) yang dapat meluruskan tulang belakangnya (sekadar memberi tenaga), jika tidak boleh, maka 1/3 untuk makananyaa, 1/3 untuk minumannya dan 1/3 untuk pernafasan. "(Riwayat Ibnu Majah dan Tirmizi.) 
     
Bila masuk waktu berbuka, makanan yang dijamah tidak sampai suku jumlah yang dibeli. Ada juga yang makan sehingga tidak mampu bangun atau terlampau kenyang. Yang diperlukan sebenarnya cuma  cuma segelas air dan sedikit kuih yang sudah cukup untuk melupakan perasaan lapar.Bukankan membazir namanya itu?.

         Sedangkan Ramadhan adalah suatu bulan di mana kita sepatutnya belajar untuk berjimat-cermat dan berhemat dalam berbelanja. Ingatlah wahai saudara, bahawa, Israa [27] sesungguhnya orang-orang yang membazir itu saudara syaitan. Dan syaitan itu makhluk yang kufur terhadap Allah.

        Bukan niat Jentayu untuk menyalahkan sesiapa di sini, tapi Jentayu cuma ingin berkongsi dan membuka mata kita semua tentang kekhilafan kita. Ramadhan merupakan bulan untuk kita beribadat, jangan pula bertukar kepada bulan dimana dosa bertambah iaitu dosa membazir.

       Ingatlah, Islam adalah agama yang menegah pembaziran, sehingga di dalam hal mengambil wuduk sekalipun Nabi Muhammmad SAW melarang sahabat baginda daripada melakukan pembaziran. Seperti di dalam sepotong hadis Hasan (mengikut al-Albani) seperti diriwayatkan oleh Imam Ahmad Ibn Majah:

Dan daripada Abdullah bin Amru bin al-'As sesungguhnya Rasulullah lalu berhampiran Sa'ad ketika beliau sedang berwudu', lalu baginda bertanya, 'Apakah pembaziran ini wahai Sa'ad?' Sa'ad menjawab, "Adakah di dalam wudu' ada pembaziran?' Nabi bersabda, " Ya, walupun berwudu' di dalam sungai yang mengalir."

Maaf jika ada sebarang info yang salah dan maaf juga andai ada perkataan yang mengguris hati pembaca.Bukan niat Jentayu untuk menyakitkan hati sesiapa.Teguran dari para pembaca amat di alu-alukan untuk perkongsian bersama.Diharap kita semua dapat menjalani bulan Ramadhan ini dengan sebaiknya dan segala amalan yang dilakukan  diberikan ganjaran pahala.
Elakkan pembaziran, optimumkan ibadah. :)


Sunday, 23 June 2013

Apa makna hidup?
Apa kamu tahu?
Apa aku juga tahu?
Atau kita semua tidak tahu?

Ku buka mata,
Luarannya celik,
Tapi hakikatnya ku pejam.

Ku buka telinga,
Mendengar segala yang dibicarakan,
Tapi realitinya ku tuli.

Ku buka mulut,
Meluahkan suara,
Tapi hakikatnya ku bisu.

Ku punya tangan,
Ku punya kaki,
Anggotaku lengkap,
Tapi apa makna lengkapnya anggota,
Tapi punya akal yang tak terdaya melawan,

Melawan apa?
Melawan nafsu,

Apa guna punya akal,
Tapi kebenaran di bunuh,
Apa guna punya akal,
Tapi tak punya Iman,

Apa guna punya mata,
Tapi pejam di saat disaksikan kebenaran,

Apa guna punya tangan,
Andai Al-Quran tak pernah di pegang,

Apa guna punya telinga,
Andai kau pekakkan dari mendengar rayuan
saudaramu yang tertindas.

Apa kau fikir,
Kejam itu hanya untuk yang membunuh secara terang-terangan???



Saturday, 22 June 2013

Angkat tangan mu,
Perhatikan tangan itu,
Perhatikan sebaiknya wahai manusia,
Imbas kembali apa yang pernah kamu pegang,
Apa yang telah kamu lakukan dengan tangan itu?
Apa amal yang kamu lakukan?
Dosa apa yang kamu cipta?

Berdirilah wahai manusia,
Tunduk ke bawah,
Lihat pada kakimu,
Ingatkah engkau ke mana langkahmu sebelum ini?
Ke tempat maksiat atau jalan akhirat?

Apa yang kamu lihat?
Apa yang kamu pandang?
Kenang kembali apa yang pernah dilihat oleh matamu,

Apa yang kamu fikir wahai manusia?????
Cukup,
Cukuplah akalmu dipasak dengan pendustaan,
Bergeraklah wahai manusia,
Ajar akalmu untuk  berfikir,
Mengkaji itu juga satu keperluan,
Bukan sekadar menelan apa yang disuap.

Ingat,
Setiap anggota itu punya tanggungjawab,
Tapi jangan kamu salah gunakan anggota-anggota itu,
Jangan kamu memandang pada fatamorgana dunia,
Jangan kamu berpaut pada tali dusta dunia,
Jangan kamu berpijak di jalan maksiat dunia,

Gunakanlah anggota-anggota itu untuk terus berjuang,
Berjuang menentang kekejaman,
Menentang penindasan,
Menghapuskan ketidakadilan ,
Membuka mata manusia mengenal perjuangan di dunia realiti,
Bukan sekadar terus berkhayal dalam mimpi.

Satu perkara yang perlu kamu sedar wahai manusia,
Yang berjuang itu sepatutnya bukan sekadar dengan mulut....

Wednesday, 19 June 2013

Di sana vs Di sini

Di sana,
Mereka di zalimi,
Tapi di sini,
Kita yang menzalimi diri sendiri.

Di sana, 
Mereka di bunuh,
Tapi di sini,
Kita sendiri yang membunuh.

Di sana,
Si ibu menangisi nasib anaknya,
Anak yang dikandung selama 9 bulan 10 hari,
Anak mereka dibedil,
Anak mereka disembelih,
Anak mereka dinodai.

Tapi disini,
Si ibu sendiri tak peduli dengan nasib anaknya,
Sejak dari dalam kandungan anak itu di benci,
Ibu sendiri membunuh anaknya yang belum lahir,
Ibu sendiri yang membuang anaknya sejurus dilahirkan,
Bapa sendiri menodai anak gadisnya.

Di sana,
Mereka berjuang menegakkan maruah agama,
Membela nasib saudara-saudara seagama mereka,
Walau nyawa jadi taruhan,
Walau harta jadi cagaran,
Kerana tak rela agama di gadai.

Di sini,
Agama bagai dijadikan alas kaki,
Saudara seagama sendiri diperalatkan,
Tangan tak mahu dihulur untuk yang memerlukan,
Harta dunia dipertuhankan,
Agama rela digadai untuk duniawi.

Kegilaan apakah ini wahai manusia???....
Mana akalmu?
Mana imanmu?
Mana perikemanusiaanmu?
Mana agamamu?

Sedarlah manusia, 
sekujur jasad itu walau di sadur dengan emas sekalipun, 
tanpa iman ia tak punya harga....












Saturday, 8 June 2013

Lelaki,
Pasangannya wanita,
Kerap kali bicaranya menyebut
‘aku ingin mencari tulang rusuk kiriku’,
Sebagai pelengkap hidup,
Yang selayaknya digelar isteri.

Wanita,
Pasangannya lelaki,
Seringkali berbisik,
‘aku ingin melengkapi tulang rusuk si Adam’
Ingin melengkapi,
Ingin bergelar isteri buat suami.

Tidak salah,
Tapi,
Jangan sampai kamu terlupa,
Akan ‘syurga di telapak kaki ibu mu’
Yang menahan seksa selama 9 bulan,
Menahan sakit di saat melahirkan,
Bersengkang mata di saat membesarkan,
Tabah dan sabar untuk memberimu sesuap makan.

Ingin dicintai?
Ingin disayangi?
Jadi belajarlah untuk mencintai dan menyayangi
Ibu bapamu dahulu,
Setelah itu barulah kamu layak untuk
dicintai dan disayangi oleh insan lain.

Sebelum menjadi suami yang soleh,
Belajarlah untuk menjadi anak yang soleh,
Sebelum menjadi isteri yang solehah,
Belajarlah untuk menjadi anak yang solehah,

Jangan dilukai hati mereka,
Jangan dikhianati kasih mereka,
Berbaktilah buat mereka,
Kerana tak pernah sekali,
Mereka melupakanmu dalam doa mereka…



Kasihnya ibu membawa ke syurga,
Kasihnya ayah sepanjang masa... :)

Friday, 7 June 2013


Yang namanya wanita itu,
Semuanya manis dan cantik,
Benar,
Kerana,
Setiap apa yang diciptakan-Nya itu cantik wahai sahabat....


Cantikya wanita,
Bukan diuji dengan paras rupa semata,
Bukan diukur dengan lunaknya suara,
Bukan kekayaan yang menjadi arasnya
Tapi,
Diuji dengan imannya,
Diukur dengan taatnya,
Santun dan malu menjadi arasnya. 

Yang namanya wanita itu,
Dadanya penuh sabar,
Hatinya tabah,
Jiwanya cekal....

Bukti..???
Ibumu juga seorang wanita bukan?
Isterimu juga seorang wanita.
Mereka sabar melayan kerenah anak-anak,
Cekal menghadapi masyarakat saat engkau berbuat salah,
Tabahnya wanita sentiasa di sisimu saat engkau dalam kesusahan...

Wahai wanita..
Jadilah pencinta yang setia,
Cintakan siapa?
Cintailah DIA yang Maha Pencipta sedalamnya,
Cintai agamamu selamanya,
Cintai ibu bapamu setulusnya,
Cintai dia yang halal bagimu setaatnya,
Cintai anak-anakmu seikhlasnya,
Cintailah setiap ciptaan-Nya dengan redha...

Buat pencinta wanita,
Ini pesanan dariku,
Jagalah kehormatan mereka,
Tuntunlah mereka menuju redha-Nya,
Didiklah mereka dengan sabar,
Agar iman mereka dan dirimu sendiri buat
Sang Pencipta sentiasa subur dan mekar,
Dalam perjalanan mencari Jannah... :)



Tuesday, 28 May 2013

Sungguh diriku tidak ampuh dari menahan fitnah duniawi,
Benar aku juga pernah hanyut dihentam gelombang nafsu yang mencengkam hati,
Terkadang daku leka mengejar kemewahan dunia yang akhirnya menggari diri,
Amarah jua pernah menjadi peneman setia  jiwa tanpa disedari

Tapi tak selamanya aku ingin terus tersesat,
Tak selamanya ingin ku relakan diri terjerat,
Ingin aku hindari  bisikan azazil yang tak lekang walau sesaat,
Bukan jalan kelam yang ingin ku genggam erat

Selagi nafas masih di jasad selagi itu pintu taubat masih terbuka,
Diri ini juga sering terpalit dengan dosa,
Tapi bila sedar akan pedihnya azab di neraka,
Lantas kaki melangkah mencari redha-Nya

Hadirnya dirimu sahabat memberi sinar baru,
Menuntun aku melalui kata dan semangat baru,
Menyedarkan aku akan DIA yang menciptakan diriku,
Mengingatkan aku tentang siapa aku. :)

Monday, 27 May 2013

Peristiwa di subuh hari


Peristiwa di subuh hari,
Sebelum terbitnya mentari,
Dalam lena yang tak mereka sedari,
Rupanya dosa yang dicari.

Si tua tersenyum sinis,
Sembunyikan hati yang menangis,
Melihat iman di generasi bijak pandai yang makin terhakis,
Mengenangkan Islam yang bagai hilang waris,

Yang alpa makin alpa,
Tak sedar akan hati yang papa,
Yang dipandang hanya rupa,
Tak tahukah neraka tak kenal siapa? :)

Saturday, 25 May 2013

Perbualan aku dan ibu

Di suatu pagi Jumaat yang hening. Aku seperti biasa bangun untuk solat subuh, dan menyiapkan diri untuk ke surau bagi menghadiri kuliah fardhu ain bagi pelajar perempuan. Bersama seorang lagi rakanku, kami berdua terus melangkah ke surau.

Nampaknya kami sedikit terlewat. Sesampainya ke surau,ustazah sudah pun sampai. Kami terus mencari tempat kosong di bahagian hadapan.. Ustazah banyak menekankan kepada tanggungjawab seorang perempuan dan nasihat-nasihat untuk kami.

(TOPIK UTAMA)
Usai kelas fardhu ain, aku terus pulang ke bilik. Tiba-tiba perasaan rindu untuk bercakap dengan ibu tercinta,selain dari hal penting yang ingin aku tanyakan kepada ibu. Lantas telefon bimbitku dicapai, lalu nombor ibu didail.........tut...tut....tut.......

Aku: Assalamualaikum ibu..

Ibu: Waalaikummussalam w.b.t....

Aku: Ibu tengah buat apa tu?

Ibu: Tengah tengok tv. Kenapa telefon ibu ni, ada masalah ke?

Aku: Tak adalah ibu,rindu ibu....Ibu...

Ibu: Ya,kenapa?

Aku: Kakak ada kawan lelaki..Tapi dia ada cakap dia nak jumpa ibu dengan ayah..

Ibu: Cakap dekat dia, sabarlah. Belajar dulu sampai habis, kalau jodoh tak ke mana.Kakak, ibu nak pesan dekat kakak. Kalau kakak rasa ada orang lain yang sayang kakak, kakak kena ingat juga yang keluarga kakak lebih sayang kan kakak. Sebab tu  kami nak tengok kakak berjaya. Atok, nenek, abah, ibu, semua sayangkan kakak. Jangan sebab kakak sayangkan orang lain, kakak hancurkan harapan keluarga kakak yang nak tengok kakak berjaya.

Aku: Ibu, kakak dengan dia kawan biasa jer.Lagipun kakak tanya ibu ni sebab dia yang suruh tanya. Kakak pun nak berjaya dulu sebelum terikat dengan apa-apa komitmen.Persediaan nak jadi anak solehah pun tak cukup lagi, macam mana nak jadi isteri solehah kan?....

Ibu: Betul tu..Ibu harap kakak jaga diri elok-elok dekat sana, jangan abaikan solat, aurat, akhlak dan pelajaran tau.

Aku: Insya-Allah ibu. Kakak ingat pesan ibu. Kakak sayang ibu.

Ibu: Ibu pun sayang kakak..Ok lar kakak, ibu nak masak ni, ibu pergi dulu ya.. Assalamualaikum

Aku: Ok ibu..Masak sedap-sedap tau.. Waalaikummussalam w.b.t

:)

Tuesday, 21 May 2013


Assalamulaikum w.b.t ….. (@_~)

Harap semua sahabat sentiasa berada di dalam lindungan-Nya…..Sedar tidak sedar sudah agak lama Jentayu tidak menjengah blog sendiri…Kekangan masa barangkali (hehehe :p )….

Di saat rindu bertamu, itu tandanya cinta mula berputik. Fakta atau auta?...fikir-fikirkan ya.. J

“Cinta itu cahaya sanubari kurniaan Tuhan, Fitrah insani”. Begitulah antara bait lagu yang masih diingati oleh Jentayu.

Jentayu tidaklah arif tentang soal cinta. Tidak berniat untuk mengulas,tapi sekadar ingin berkongsi. Semenjak kebelakangan ini setiap kali Jentayu melayari Facebook, seringkali Jentayu terjumpa status-status yang berkaitan soal cinta. Sudah masuk musim cintakah?.. J

Pesan Jentayu, untuk adik-adik yang masih di bangku sekolah, harap anda semua tidak hanyut dalam melayan perasaan. Sedar atau tidak, ibu bapa kita bekerja keras membanting tulang bagi mendapatkan wang untuk memastikan keperluan kita lengkap, dari makanan,pakaian sampailah kepada buku-buku sekolah. Tidakkah timbul rasa bersalah dalam diri kita apabila duit belanja sekolah yang diberikan kita gunakan untuk membeli tambah nilai bagi membolehkan kita sentiasa berhubung dengan kekasih hati? Ber’SAYANG-SAYANG’, janji sehidup –semati, tapi makan pun masih ditanggung ibu dan ayah, tidak timbul rasa malukah?. Bahagiakan ibu dan ayah dulu, baru boleh berfikir untuk bahagiakan insan lain.
Pesanan ini bukan hanya untuk remaja, malahan untuk yang dewasa juga.

Bukannya apa,saranan ini Jentayu berikan kerana ada yang terlampau asyik bercinta sampaikan mengabaikan pelajaran dan tanggungjawab sebagai seorang umat Islam.  Jangan jadikan masa depan dan agama sebagai cagaran untuk cinta manusia. Perlu di ingat, kita hanya mampu merancang, tapi Allah yang menentukan segala-galanya.

Memang benar soal perasaan tak boleh dihalang. Tapi ingat, setiap perkara ada batasnya. Jangan sampai melanggar syariat agama. Sebelum akad, antara kamu masih punya batas.

Kadang-kadang bersahabat itu adalah lebih baik.Andai belum sanggup untuk meminangnya,cukup sekadar menyintainya dalam diam..

Bagi yang punya niat untuk bernikah pada usia muda itu bagus dan amat digalakkan Tetapi diingatkan juga, persediaan itu perlu. Bukan sahaja dari sudut kewangan, malahan dari sudut didikan agama untuk keluarga. Bukan sekadar cinta, kerana cinta itu tidak lengkap tanpa sulaman keimanan dan tanggungjawab.
Mungkin apa yang dituliskan oleh Jentayu ini tidak lengkap dan berisi. J Bagi sesiapa yang punya
pandangan tersendiri mengenai topik ini jangan segan dan janganlah malu untuk berkongsi. Insya-Allah, pandangan anda akan membantu Jentayu dalam mempertingkatkan lagi mutu penulisan Jentayu dan memberi input-input berguna buat kita semua. :)

Sunday, 28 April 2013

Bila perasaan tersentuh, pasti hati mula berbicara.Tapi, andai hati dibiarkan menjadi nakhoda sendirian, pasti ramai yang bakal tenggelam. Ini kerana hati hilang penunjuk arahnya, iaitu iman. Lantas ramailah yang lemas dilanda badai nafsu dunia.Ikut rasa binasa, ikut hati mati. Apabila ada yang menghulurkan tangan untuk membantu mereka untuk kembali ke tebing, tangan itu ditepis. Bukan sahaja ditepis, malahan mata dipejam rapat tak sudi memandang walau sekilas.

PEMBETULAN. Bukan lemas tapi rela dilemaskan.

Inilah antara senario yang biasa Jentayu lihat dalam dunia hari ini. Syariat Islam dikatakan palsu, yang haram dengan bangganya di sanjung menjadi peneman hidup. Memang benar, tidak ada manusia yang tidak pernah melakukan kesalahan. Tapi itu bukan alasan untuk mereka menidakkan kebenaran.

Mereka terlampau mencintai dunia, sehingga melupakan akhirat. Merelakan diri terus hanyut, iman dibuang, nafsu digenggam erat. Mengaku Islam, tapi realitinya..??

Apabila aurat isteri, saudara, anak perempuan dipertonton, apa tindakan si suami, ayah dan saudara lelaki..??
Menegur??... Menasihat..??? Menghalang..???
Bukan lelaki sahaja yang perlu dipersalahkan, tapi empunya diri juga perlu sedar. ( sedar, tapi menolak hakikat ).

Solat 5 waktu? Puasa?.. dilakukan seminima mungkin
Aurat? Hiburan? Pergaulan (couple)?... Rangkaiannya diluaskan semaksima mungkin.Mereka menulis sendiri peraturan mengikut citarasa mereka.

Bila dinasihat melenting, bila ditegur membangkang.Marah kepada yang menegur, kerana ingin menegakkan pendirian mereka.Lantas di manakah letaknya agamamu???...Di hati atau di telapak kaki?????

Seringkali Jentayu melihat ada yang apabila dinasihat, mereka sekadar memekakkan telinga. Tak mahu mendengar walau sedar akan hakikatnya, kerana terlampau gembira hidup dalam kepalsuan nafsu dunia.

Sahabat, sesungguhnya Allah tidak pernah menolak taubat orang yang benar-benar ingin bertaubat. Ingatlah, andai esok nyawamu diambil, apakah persediaanmu hari ini???
Sahabat, kami cuma bisa memimpin, tapi andai kamu menepis, apalah daya kami untuk memaksa.


Al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Semua umat ku akan masuk syurga kecuali orang yang enggan. Baginda ditanya: “Siapakah yang enggan?” Baginda bersabda: “Sesiapa yang taat kepada ku ia masuk syurga dan sesiapa yang derhaka kepada ku ia masuk neraka.”

(al-Bukhari)

Huraian:
Pada hakikatnya tiada seorang pun yang waras fikirannya enggan memasuki syurga, malah yang bermati-matian mengejar dunia ini sekali pun, tidak lain ialah kerana menganggap dunia ini adalah syurga yang terlalu indah padahal syurga yang sebenar adalah syurga akhirat yang kekal abadi. Enggan memasuki syurga bererti seseorang itu memilih untuk memasuki neraka. Kesimpulan daripada hadis di atas ialah bahawa orang yang bakal memasuki syurga adalah orang yang taat kepada Rasulullah SAW sedangkan pengertian orang yang tidak mahu memasuki syurga adalah mereka yang derhaka kepada baginda SAW.

Tuesday, 26 March 2013

Garisan itu......

Dalam hidup ini segala perkara ada peraturannya. Sebagai umat Islam, kita perlu mamatuhi segala yang telah ditetapkan oleh Allah SWT selagi kita masih berpijak di bumi ciptaan-NYA dan selagi kita masih bernafas dalam jasad yang dipinjamkan oleh-NYA.

Dalam setiap perhubungan,telah ditetapkan jaraknya. Jarak yang perlu dijaga.Sahabat, jangan pernah cuba untuk melangkah garisan yang telah sedia terlukis. Peringatan ini bukanlah untuk melanggar hak asasi manusia,bukan untuk mengongkong minda atau jasad anda, tapi agar setiap sesuatu itu tetap berada di kedudukan asalnya.

Darah muda. Di usia ini banyak perkara yang ingin di cuba. Banyak persoalan yang cuba dirungkaikan.
Di usia ini jugalah rata-rata individu bertemu antaranya ialah "cinta pandang pertama", dan "kecelaruan identiti",...

Jentayu melihat ramai yang cuba menidakkan kebenaran apabila ada yang mengatakan apa yang dilakukan oleh mereka itu adalah salah.Perlu di ingat,bukan salah di mata manusia,tapi salah di sisi hukum syariat.Ada yang marah,ada yang mengutuk dan ada yang berpaling sebelum sempat diberi nasihat.Itulah situasi yang biasa terjadi.

Kalau sayang,kenapa heret dia ke jalan kemurkaan Allah SWT...????
Kalau betul sayang, kenapa tak mahu berubah sedangkan sedar akan perbuatan yang dilakukan itu salah..????

Perlu di ingat wahai sahabat,
Bukan manusia yang menetapkan hukum itu.Bukan manusia yang menetapkan garisan itu. Andai kamu sedar apa yang kamu lakukan itu salah,mengapa tidak dihentikan. Berani biar bertempat sahabat. Melanggar hukum yang telah di tetapkan oleh Allah SWT itu bukan bukti keberanian. Tapi itu bukti kejahilan.

Maaf andai tulisan Jentayu ada mengguris hati sahabat-sahabat sekalian.
Kita nasihat sebab kita sayang,bukan sebab kita jer yang betul... (@_~)

Friday, 22 March 2013

Coretan Pertama.....

Bermula sudah percutian ku.Walaupun ada antara rakan yang kurang gemar dengan amanah yang telah dipertanggungjawabkan sepanjang cuti ini,namun bersyukurlah kerana dengan adanya cuti ini dapat kita bertemu seketika dengan keluarga tercinta sebelum Peperiksaan Akhir bermula.

Sedar yang diri ini tidak sempurna imannya berbanding insan lain di luar sana.Tapi kadangkala yang jelas terlihat tidak elok itu harus ditegur sebelum luka mula bernanah.

Teguran itu kadangkala sukar diterima,bergantung kepada mentaliti individu itu sendiri kerana setiap individu punya fikiran dari perspektif yang tersendiri.Tak perlu melatah,tak perlu marah.Cuba tarik nafas sejenak dan berfikir.Teguran seorang rakan itu untuk kebaikan siapa? Selama ini bukankah dia yang selalu berada di samping mu? Tapi apabila diberi teguran kenapa perlu marah kepada sahabatmu?

Pemberi teguran itu pula perlu faham dengan situasi orang yang ditegur.Kalau hari ini tanam jagung,mana mungkin esok sudah boleh dituai hasilnya.Beri mereka sedikit masa.Andaikata kita yang berada ditempat orang yang ditegur,mungkin kita juga butuh waktu.

Jentayu tiada niat untuk menyakiti hati sesiapa.Coretan ini hanya untuk renungan bersama.Sahabat tetap sahabat,yang namanya sahabat itu sukar dicari.




                                       

Thursday, 21 March 2013

Mula bertatih.....

Terpaut hati pada nama jentayu dan kisahnya.Mungkin ramai yang tahu akan kisah burung Jentayu...
Jentayu merupakan burung sakti yang cantik dan membawa unsur air.Bulunya berwarna putih kebiruan dan ekornya laksana burung merak.Di atas kepalanya terdapat jambul seperti sebuah mahkota yang berkilauan umpama intan.

Walau diri ini tak semegah jentayu,namun rasanya tidak salah  untuk menggunakan namanya sebagai simbol.
Setiap individu ada pendapat yang berbeza mengenai mitos jentayu.Tapi minda adalah hak peribadi,tak bisa untuk saya menghalang.

Andai apa yang akan saya paparkan dan kongsikan di blog ini pada masa akan datang dirasakan tidak sesuai dan perlu diperbaiki,para pembaca dialu-alukan untuk memberi teguran kepada diri ini.