Monday, 1 July 2013

Selamat datang wahai Ramadhan.... ;)

       

Assalamualaikum w.b.t buat para sahabat... :)
     
        Bulan Ramadhan bakal tiba tidak lama lagi. Harap kita semua dapat membuat persediaan yang mencukupi untuk menyambut kedatangannya nanti. Tapi Jentayu terfikir,bagaimanakah Ramadhan saudara-saudara seagama kita di negara lain yang sedang bergolak sekarang. Bagaimana keadaannya dengan saudara kita di Syria, Afghanistan, Palestin, Rohingya dan lain-lain lagi?. Walaupun tidak dapat menjalani bulan puasa sepertimana kita di sini, diharap mereka dapat menjalankan ibadah puasa mereka dengan penuh kesabaran.

        Puasa sepatutnya mengajar kita tentang erti kesusahan yang dihadapi oleh fakir miskin, dan agar kita menghargai setiap apa yang sedang kita miliki, dan sentiasa bersyukur dengan nikmat yang telah dikurniakan untuk kita berbanding dengan insan-insan lain yang mungkin kurang bernasib baik berbanding kita.

        Terkadang Jentayu agak terkilan dengan cara kita menyambut bulan Ramadhan di sini.Memang menjadi rutin untuk kita semua pergi ke bazar-bazar Ramadhan di sekitar kawasan kejiranan kita untuk membeli lauk untuk berbuka. Tapi melihatkan dari jumlah lauk-pauk yang dibeli,nampak macam nak buat kenduri. Contohnya, air 3 jenis, lauk 5 jenis, kuih 5 jenis, dan itu tidak lagi termasuk dengan hidangan-hidangan sampingan yang lain.Sedangkan jumlah ahli keluarga cuma 4 atau 5 orang.

Daripada Anas RA berkata, "Rasulullah SAW berbuka puasa dengan beberapa biji rutab (tamar basah) sebelum solat, jika tiada rutab Baginda berbuka dengan tamar, dan sekiranya tamar tiada baginda akan berbuka dengan air." (Riwayat Abu Dawud dan Tirmidzi. Kata Tirmidzi ia hadis hasan]

Sudah cukuplah bagi anak Adam itu dengan beberapa suap (makanan) yang dapat meluruskan tulang belakangnya (sekadar memberi tenaga), jika tidak boleh, maka 1/3 untuk makananyaa, 1/3 untuk minumannya dan 1/3 untuk pernafasan. "(Riwayat Ibnu Majah dan Tirmizi.) 
     
Bila masuk waktu berbuka, makanan yang dijamah tidak sampai suku jumlah yang dibeli. Ada juga yang makan sehingga tidak mampu bangun atau terlampau kenyang. Yang diperlukan sebenarnya cuma  cuma segelas air dan sedikit kuih yang sudah cukup untuk melupakan perasaan lapar.Bukankan membazir namanya itu?.

         Sedangkan Ramadhan adalah suatu bulan di mana kita sepatutnya belajar untuk berjimat-cermat dan berhemat dalam berbelanja. Ingatlah wahai saudara, bahawa, Israa [27] sesungguhnya orang-orang yang membazir itu saudara syaitan. Dan syaitan itu makhluk yang kufur terhadap Allah.

        Bukan niat Jentayu untuk menyalahkan sesiapa di sini, tapi Jentayu cuma ingin berkongsi dan membuka mata kita semua tentang kekhilafan kita. Ramadhan merupakan bulan untuk kita beribadat, jangan pula bertukar kepada bulan dimana dosa bertambah iaitu dosa membazir.

       Ingatlah, Islam adalah agama yang menegah pembaziran, sehingga di dalam hal mengambil wuduk sekalipun Nabi Muhammmad SAW melarang sahabat baginda daripada melakukan pembaziran. Seperti di dalam sepotong hadis Hasan (mengikut al-Albani) seperti diriwayatkan oleh Imam Ahmad Ibn Majah:

Dan daripada Abdullah bin Amru bin al-'As sesungguhnya Rasulullah lalu berhampiran Sa'ad ketika beliau sedang berwudu', lalu baginda bertanya, 'Apakah pembaziran ini wahai Sa'ad?' Sa'ad menjawab, "Adakah di dalam wudu' ada pembaziran?' Nabi bersabda, " Ya, walupun berwudu' di dalam sungai yang mengalir."

Maaf jika ada sebarang info yang salah dan maaf juga andai ada perkataan yang mengguris hati pembaca.Bukan niat Jentayu untuk menyakitkan hati sesiapa.Teguran dari para pembaca amat di alu-alukan untuk perkongsian bersama.Diharap kita semua dapat menjalani bulan Ramadhan ini dengan sebaiknya dan segala amalan yang dilakukan  diberikan ganjaran pahala.
Elakkan pembaziran, optimumkan ibadah. :)


No comments:

Post a Comment