Monday, 5 August 2013
Tok Ayah
Haji Shafian bin Awang,berusia 84 tahun.Seorang imam di Kampung Tok Kah, Dungun, Terengganu. Seorang yang tidak banyak bicara. Suami kepada Hajjah Saudah binti Abdul Rahman dan ayah kepada 6 orang anak yang terdiri daripada 3 lelaki dan 3 perempuan.Mempunyai 21 orang cucu dan 7 cicit. Berpewatakan tenang, dan tidak pernah marah kepada sesiapa tidak kiralah anak-anak,isteri mahupun orang luar. Itulah yang membuatkan dia disenangi oleh masyarakat sekeliling.Tapi alhamdulillah, walaupun tidak pernah marah, namun anak-anaknya tetap membesar menjadi individu yang berguna kepada masyarakat.
Tok ayah merupakan seorang peneroka yang berasal dari Kelantan. Dia berhijrah ke Terengganu pada tahun 60-an untuk membuka tanah. Hasil penat lelahnya terbayar apabila kawasan yang asalnya hutan bertukar kepada tanah kebun kelapa pandan dan getah. Selain itu tok ayah dan nenek juga suka berkebun, banyak sayur yang ditanam, seperti sawi, bayam, dan lain-lain. Apabila ssudah dituai, mereka akan membawa hasil tuaian ke pasar untuk di jual. Di sepanjang laluan rumah datuk ada banyak pokok kedondong, buahnya nenek buat jeruk dan dijual. Tidak ketinggalan juga hasil tanaman lain seperti durian, nenas, salak dan lain-lain yang memberikan pendapatan kepada datuk dan nenek.
Setiap kali cucu-cucunya datang melawat, pasti tok ayah yang menjadi tempat tumpuan. Memang begitulah keletah kami semua.Seplastik gula-gula selalu saja berada dalam simpanannya, untuk diagihkan kepada cucu-cucunya. Walaupun datuk bukanlah seorang yang banyak bercakap, tapi berada di sisi datuk membuat hati kami gembira.
Pada sebelah tengahari datuk dan nenek akan ke surau untuk mengajar anak-anak kampung mengaji. Dan setiap kali masuk waktu solat datuk pasti akan melangkah ke surau.Pada sebelah malamnya pula dia akan mengajar di surau dan masjid.
Tapi kini aku tidak pasti samaada aku masih berpeluang untuk mendengar alunan merdu suara tok ayah ketika mengaji dan azan. Dapatkah kami semua melihat senyum di wajahnya.
Tanggal 5/7/2013, ibu mendapat panggilan telefon dari bapa saudaraku (pok muda). Dia memberitahu yang tok ayah tidak sihat, maka malam itu ayah telah menghantar aku, ibu dan adik perempuan ku ke rumah tok ayah.Sesampainya aku di sana, aku melihat tok ayah menyandar di sofa, sayu hatiku melihat raut wajahnya. Aku pergi kepada datuk dan bersalam dengannya, nyata dia masih ingat akan diriku tapi pertuturannya tidak jelas.Datuk pernah diserang sakit jantung 6 tahun lalu dan diserang angin ahmar 2 tahun lalu.
Pada sebelah pagi sebelumnya, selera makan tok ayah bertambah dan dia masih sempat menjadi imam untuk solat asar di surau berhadapan dengan rumahnya pada petangnya. Nenek memberitahu bahawa tok ayah mengadu tidak sihat selepas solat maghrib tadi.
Pada malam itu, aku dan bapa saudaraku (pak cik mad) bergilir-gilir menjaga tok ayah. Dia kerap mengadu mahu ke tandas, tapi dia perlu di papah, dan jika tidak di bantu dia akan bangun sendiri dan jatuh.Pada pukul 2.00 a.m. aku sempat tidur sebentar dan terjaga pada pukul 2.30 a.m.Aku dan bapa saudaraku bertukar tugas. Pertuturan dan pandangan mata tok ayah menjadi semakin tidak jelas. Itu membuatkan kami buntu kerana tidak tahu apa yang dikehendaki olehnya.Kami cuba memberikan sedikit roti kerana sejak petang tadi dia tidak makan, tapi dia tidak mahu. Kali terakhir tok ayah minum pada pukul 12.00 a.m. tadi.Kudratku sebagai seorang perempuan tidak begitu kuat untuk memapah tok ayah ,namun ku gagahkan jua, beberapa kali aku hampir hilanng imbangan memandangkan tok ayah agak berat. Akhirnya pada pukul 4 a.m. datuk semakin tenang, dan aku mengambil keputusan untuk tidur.
6/7/2013.Pagi itu aku terjaga agak lewat, sekitar pukul 6.30 a.m.Ketika itu aku melihat bapa saudaraku (pok muda) da isterinya sudah tiba. Dan aku dimaklumkan bahawa tok ayah diserang angin ahmar pada bahagian sebelah kanan badannya. Lantas aku pergi kepada tok ayah dan memangkunya. Tiba-tiba tok ayah diserang sawan, mujur pak cik mad sempat menarik keluar gigi palsu datuk, walaupun terdapat sedikit luka pada lidah datuk.
Sekitar jam 7.15 pagi , tok ayah dikejarkan ke hospital. Aku kurang pasti akan kesan daripada angin ahmar yang menyerang tok ayah. Tapi aku melihat percakapannya tidak jelas, dia tidak boleh berjalan sendiri, dan memorinya sudah tidak seperti dulu. Tok ayah tidak mahu makan, dan hanya mahu minum air, itu pun setakat 2 3 sudu sahaja. Pada petangnya datuk terpaksa diikat kerana dia terlampau banyak bergerak dan mahu turun dari katil sejak dari dia dimasukkan ke wad pagi tadi. Dia tidak dapat memahami arahan dari orang sekeliling. Sekitar jam 4 p.m. jururawat meminta kebenaran untuk mengikat tok ayah agar dapat memasang jarum untuk memasukkan air ke tubuh tok ayah. Sayu hatiku melihat keadaannya,kedua-dua belah tangan dan kakinya terpaksa diikat pada katil.Dia bagaikan meronta-ronta mahu dilepaskan sehingga tangannya lebam. Kami bukan mahu bertindak kejam, tapi ini adalah untuk kebaikannya kerana sejak dimasukkan ke wad pagi tadi tok ayah tidak mahu berehat dan ingin bangun dari katil.
Pada 9/7/2013 tok ayah dibenarkan keluar dari wad. Dan kami membawa tok ayah ke rumah ibu saudaraku di Kelantan untuk dijaga, dan aku juga turut serta memandangkan aku masih bercuti panjang dan akan mendaftar pada 1/9 nanti di UMK Jeli.
Pada seminggu pertama,jelas kelihatan yang badan tok ayah semakin susut dan dia hanya mampu mengesot, tapi masih belum mampu bertutur dan memorinya masih belum pulih. Alhamdulillah , walaupun tok ayah hanya mampu makan bubur nasi yang dikisar yang dikisar dan nestum, dan minum susu serta air putih, namun kami sangat bersyukur kerana dia masih ada bersama kami sehingga hari ini.
Tapi aku kagum dengan tok ayah. Walaupun sakit dan tidak berupaya untuk ingat pada perkara-perkara lain, walaupun tidak berupaya untuk berdiri dan mengucap perkataan lain, namun kalimah Allah dan bacaan hampir kesemua bacaan dalam solat serta selawat tetap utuh di fikirannya. Setiap kali terdengar laungan azan, dia akan berusaha untuk bangun bagi menunaikan solat fardhu.
Aku tetap berharap tok ayah akan pulih dan tersenyum sekali lagi satu hari nanti.
Setianya seorang isteri, tak pernah meninggalkan suaminya walaupun si isteri sendiri sakit.Sepanjang tok ayah sakit, nenek sentiasa menemani tok ayah.
Tapi takdir dan perancangan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT adalah yang terbaik.Tanggal 23 Julai 2013, Selasa, malam 15 Ramadhan, jam 10.10 p.m. , ketika itu tok ayah telah menghembuskan nafasnya yang terakhir disisi isteri dan semua anak-anaknya. Nenek yang baru selesai solat di sisi tok ayah terus mengangkat doa kepada Allah SWT agar roh suaminya dicucuri rahmat oleh Allah SWT, dan selepas itu dengan deraian air mata sambil menahan sebak, dia mengucup tangan kaku tok ayah.Kami semua redha dengan pemergian tok ayah.Andai itu yang terbaik untuk dia, kami redha.Kerana Qada' dan Qadar Allah itu adalah yang terbaik untuk kita.Semoga roh tok ayah sentiasa tenang di sana.Amin. Al-Fatihah...............
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment